Selamat datang ke blog ibu bersalin. Kali ini kita baca pula artikel menarik yang dipetik dari utusan online. Kisahnya adalah mengenai risiko rahim yang boleh jatuh akibat daripada proses kelahiran. Artikel ini bukanlah untuk menakut-nakutkan ibu bersalin tetapi hanyalah sekadar untuk berkongsi maklumat saja. Selamat membaca ya.
Ibu Bersalin boleh tambah risiko rahim jatuh
Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto RAZAK LATIFF
UTERUS atau dalam bahasa harian lebih senang disebut rahim, mungkin boleh dilambangkan sebagai kasih sayang bagi seorang wanita.
Di dalam organ inilah, 'benih' cinta antara dua individu bersatu,
membesar selama 40 minggu dan apabila sampai masanya, menyingkap dunia
melalui frasa yang cukup istimewa.
Sebagai organ yang mempunyai fungsi ajaib melahirkan cahayamata,
pastinya tugas berat tersebut sedikit sebanyak membebankan dan boleh
mendatangkan masalah di kemudian hari.
Rahim jatuh atau uterovaginal prolapse adalah satu daripadanya. Ia
berlaku apabila rahim turun atau jatuh daripada kedudukan anatomi
asalnya di aras tonjolan tulang iskium (ischial spine).
"Punca utamanya ialah kelemahan otot-otot dan ligamen-ligamen
sokongan rahim serta lantai pelvis yang disebabkan oleh beberapa
perkara," kata Dr. Ixora.
Menurut beliau, otot-otot lantai pelvis atau saraf pudendal iaitu
saraf yang menjadi penyambung di bahagian tersebut boleh tercedera
ketika proses kelahiran. Tambahan lagi kepada wanita yang melalui proses
kelahiran lebih daripada empat kali, mereka sangat terdedah kepada
risiko mengalami rahim jatuh.
Faktor lain seperti kekurangan tisu kolagen sama ada sejak lahir atau
disebabkan oleh menopaus dan masalah keabnormalan tulang belakang
seperti 'spina bifida' juga mengundang masalah ini.
Dianggarkan sekitar 30 peratus wanita berusia mengalami masalah rahim
jatuh tetapi peratusan sebenarnya tidak diketahui dengan tepat kerana
ramai yang malu untuk berjumpa doktor.
Walaubagaimanapun kata beliau, terdapat juga wanita muda yang
mengalami masalah ini tetapi ia jarang berlaku. Jika berlaku sekali pun
mungkin berpunca daripada masalah saraf pudendal yang wujud secara
semula jadi sejak lahir atau akibat kecederaan saraf tunjang atau
penyakit saraf seperti gullain-barre dan poliomyelitis.
"Individu yang mengalami masalah kesihatan seperti obesiti, sembelit
dan batuk yang berpanjangan serta selalu mengangkat beban berlebihan
atau berpanjangan untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan otot lantai
pelvis lemah," kata beliau.
Jelas Dr. Ixora, biasanya masalah rahim jatuh akan diiringi masalah
organ-organ pelvis lain seperti pundi kencing, faraj, uretra (salur
kencing), rektum (usus besar) dan usus kecil yang dipanggil pelvic organ
prolapse (POP).
Antaranya masalah cystocoele ( pundi kencing jatuh / bonjolan pundi
kencing ke dalam faraj) dan rectocoele (usus besar rektum jatuh /
bonjolan rektum ke dalam faraj).
Selain daripada itu ia juga diiringi oleh masalah kencing seperti
stres inkontinens (kebocoran akibat batuk, bersin atau ketawa dan
masalah pundi kencing terlalu aktif.
Kategori rahim jatuh:
1. Peringkat pertama : serviks turun dari kedudukan normalnya sehingga bukaan faraj tetapi rahim masih di dalam faraj
2. Peringkat kedua : serviks dan sebahagian rahim turun dari kedudukan
normalnya sehingga melepasi bukaan faraj tetapi fundus rahim masih di
dalam faraj
3. Peringkat ketiga (procidentia) : serviks dan keseluruhan rahim
termasuk fundusnya dan dinding faraj turun melepasi bukaan faraj.
Simptom-simptomnya:
l. Terasa sesuatu terkeluar di bahagian faraj
2. Ketulan pada faraj
3. Sakit pelvis / ari-ari (dragging pelvic pain)
4. Sakit belakang
5. Sakit semasa hubungan seks
6. Pendarahan faraj selepas menopaus
7. Inkontinens kencing
8. Sukar buang air kecil / besar
Bacaan lanjut sila baca di
utusan online